Kedewasaan Alam
hari sudah senja
asar sudah jauh perginya
maghrib akan datang
bilamana matahari nun di balik sana
senja ini
angin menerpa diri
datangnya tak kelihatan
tapi aku tahu
senja itu
angin pernah datang
lama dulu
tapi tak sama
lalu aku jadi rindu
rindu pada kecip-kecip kawanan burung
rindu pada alir si anak sungai
rindu pada tinggi sang bukit
rindu pada sahabat kecil ku dulu
senja itu
burung itu takutkan lastik kami
sungai itu surut naiknya kerana sawah kami
bukit itu hanya kami yang jejak
dan sahabat itulah yang menjadi kami
kerana kami bersahabat
senja ini
aku tercari-cari akan kampungku
mengagau pada seluruh isi alamnya
sudah bisukah kamu wahai burung
kemanakah halamu wahai sungai
dimanakah pokokmu wahai bukit
masihkah kita semua bersahabat
merajukkah kalian
dewasakah kalian
atau aku yang enggan berubah
pegunkah rasa ini
hingga aku tak sejuk pada hujan
hingga aku tak panas pada matahari lalu
aku tidur pada mata yang tak pejam
aku jaga pada diri yang kaku
siapa yang miliki semalam
pulang padaku
aku rayu
pulang pada yang perlu
pada orang yang seperti aku
No comments:
Post a Comment